Berburu ke Padang Datar
dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Kita harus menghayati pantun yang sarat dengan seribu makna ini, tidak kira sama ada kita guru atau ibu bapa. Hakikatnya tanpa sedar kita, cara kita bertutur, cara kita bertindak atau cara kita menangani masalah amat besar pengaruhnya kepada anak-anak. Kita sebenarnya model paling hampir dengan mereka.
Aku masih ingat sewaktu anak-anak ku masih dalam lingkungan usia 3 - 9 tahun. Sebagai ibu muda , aku agak garang. Pantang sahaja anak-anakku membuat kesilapan, sudah pasti aku akan meninggikan suara dan memarahi mereka. Kemudiannya aku merendahkan kembali nada suaraku dan memberitahu mereka rasional tindakan aku itu. Aku kira, dengan cara begitu, anak-anakkua akan faham kenapa mereka dimarahi.
Namun aku lupa bahawa dalam proses aku mendidik itu, aku telah meninggikan suaraku.
Aku tak boleh nak salahkan mereka apabila mereka juga meninggikan suara mereka apabila ingin memarahi adik-adik mereka.
Suatu hari, aku terdengar anakku Dzu menegur adiknya yang melangkah keluar daripada bilik. Ai tak reti nak tutup lampu? Ingat umi cop duit ke?
Aku rasa nak marah kerana anakku yang lebih tua usianya tidak boleh menggunakan bahasa yang lembut untuk menegur adiknya. Dalam hati aku berkata-kata, apa salahnya kalau Dzu minta saja adiknya menutup lampu? Qib, tolong tutup lampu, Kesian umi dan abah, nanti kena bayar bil tinggi. Tentu sejuk hati adiknya.
Walau apapun aku masih bersyukur kerana aku masih tidak terlambat untuk mengubah caraku mendidik anak-anak. Aku cuba sedaya upaya untuk mengawal rasa marah. Kalau marahpun nada suaraku tidak tinggi.
Biasanya kita sebagai manusia, sukar menerima kenyataan bahawa cara kita mendidik anak-anak itu salah.
Oleh itu kita jangan mudah menuding jari kepada pihak lain sepanjang perjalanan hidup kita jika berlaku apa-apa kesilapan. Kita lihat dulu diri kita. Betulkah kita?
Thursday, January 14, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

You're correct.
ReplyDelete