WELCOME TO MY BLOG

PERLUKAH DAIRI

Thursday, March 18, 2010

Begitukah tatkala tua?

Sudah lama aku nak tulis tentang perkara ini. Namun aku tangguhkan kerana topik ini tidak sepatutnya aku luahkan sama ada pada kawan-kawan ataupun di dalam diari apatah lagi untuk tatapan umum di dalam blog.

Emak dan abah aku. Aku rasa mereka berkahwin atas dasar cinta. Walaupun usia mereka telah melebihi 70 tahun sejak dua tahun yang lalu namun seingat aku, perbualan yang tenang dan penuh kegembiraan antara mereka berdua hanya boleh bertahan dalam 10 minit sahaja. Setiap patah perkataan atau ayat yang keluar daripada mulut masing-masing pasti tidak akan disenangi oleh satu sama lain. Mereka akan berbalah tentang apa sahaja walau di mana mereka berada.
Oleh sebab, kami tinggal berhampiran atau dalam lingkungan keluarga sebelah emak maka, mereka tidak segan silu untuk berbalah-bertengkar. Itu merupakan satu senario yang sangat biasa. Kalau nak lihat perbualan panjang yang aman dan tenteram dan penuh kegembiraan ialah masa keluarga sebelah abah datang. Masa tu sure mereka tak bergaduh. Malu.

Sebagai anak, aku tak tahu lagi nak kata apa; sebab, aku sudah pastinya akan bercakap dengan nada yang sedikit tinggi supaya mereka berdua berhenti bertengkar. Dan dalam proses itu, sudah tentunya ada yang akan tersinggung.

Anak-anak aku sejak kecil lagi dah biasa mendengar wan dan atok mereka bertengkar. Pada waktu pagi, aku atau suami akan hantar mereka ke sekolah. Waktu balik emak dan abah akan mengambil mereka. Aku rasa mereka gembira dengan tugas itu. Anak-anakku sayang akan atuk dan wan mereka. Namun apa yang aku terkilan ialah, anak-anakku sentiasa mendengar perbalahan mereka.
" Umi, tadi wan dengan atok bergaduh.... Sebenarnya, puncanya hanya perkara yang remeh-temeh.

Mereka sebenarnya tak tahu tentang kesan mereka berbalah itu. Aku tak tahu kesannya pada anak-anakku. Aku lihat walaupun dua orang anakku di U, dua lagi di boarding school dan satu masih dalam darjah tiga, mereka semua begitu menghormati dan sayang akan wan dan atok mereka 'despite' sikap suka berbalah pada setiap masa tu. Syukur alhamdulillah.

Namun kesannya pada aku dan suamiku yang aku risau sangat. Suami aku dari awal-awal perkahwinan lagi dah nampak sikap suka berbalah ini. Dia dah awal lagi warning aku. Katanya, isteri harus respect suami. Suara jangan tinggi bila bercakap dengan suami.
Aku cuba menjadi isteri yang baik terutama dari segi tuturkata kepada suamiku.

Yang aku tak boleh kawal sekarang ialah perasaan aku, pandangan aku kepada emak dan abah apabila mereka masih tetap seperti itu. BERBALAH. Kadangkala aku terfikir, dulu mereka ni kena kahwin paksa ke? Kalau setiap patah perkataan yang keluar perlu dijadikan topik pergaduhan, kenapa mereka kahwin dulu? Atau bila dan menginjak ke usia 40-an baru datang sikap begitu?

Apapun aku harus ingat " walau buruk bagaimanapun sikap mereka (suka berbalah), mereka tetap emak dan abah aku" - aku mesti respect, aku mesti beri mereka rasa sedikit kemewahan yang termampu , aku mesti senangkan hati mereka.

Namun,

Satu perkara yang mereka tidak sedar ialah, aku dan adik-adikku sebenarnya merupakan mangsa yang akan berdosa akibat tindakan mereka yang suka berbalah itu. Setiap kali aku menegur sikap mereka, aku akan berdosa apatah lagi jika aku terpaksa meninggikan suara - kerana mereka seperti kanak-kanak yang sentiasa hendak menang - tidak pernah merasa mereka bersalah - puas hati setelah dapat menyakitkan hati antara satu sama lain.
Kepuasan hati yang sukar di tafsirkan, sukar diterjemah, sukar dihuraikan, sukar dimengertikan.

Walaupun beberapa tahun lagi aku akan menginjak ke usia 50, aku harap aku tidak akan menjadi begitu - aku tidak mahu berbalah - berbalah itu menyerabutkan!

Akhir sebuah kehidupan

15 Mac, 2010

Jam 7.05 malam, Kak Nah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia di Bentong. Walaupun dah tenat dan doktor tak mahu menerimanya lagi, dia tetap nak ke Bentong ke rumah Zirah.

Aku tak tahu sama ada kak Nah, tak percaya yang anak-anaknya boleh menjaganya dengan baik di Kelang atau dia lebih percayakan Zirah untuk menjaganya atau dia tak nak menyusahkan anak-anaknya.

Jam 8.20 malam, aku, suami dan anak-anak yang sedang bercuti bertolak ke Bentong. Walaupun aku bersedih tetapi kami semua telah menjangka bahawa hayatnya tidak panjang. Oleh itu dari segi mental, kami telah bersedia menghadapi kemungkinan itu. Sesampai di rumah Zirah, aku lihat Mak mertua aku sedang duduk mengaji di sisi jenazah Kak Nah. Tak ramai orang ketika itu. Aku dari PD, Suhi sekeluarga dan Suhaimi juga sekeluarga dari Seremban, telahpun sampai. Anak menantu kak Nah dari Klang tak sampai lagi. Anak perempuan Kak Nah ada lima orang anak yang masih kecil. Mungkin nak menyiapkan mereka memakan masa. Kita harus berprasangka baik.

Sebenarnya kehadiran anak lelaki sulung Kak Nah , kami nantikan untuk membuat keputusan sama ada nak dikebumikan di kampung, di Gerik atau di Klang. Perlukan jenazah Kak Nah dimandikan dan dikapankan terlebih dulu? Nak uruskan van jenazah. Nak bertolak malam itu juga atau tunggu sehingga esok pagi?

Akhirnya dia, adik lelakinya dan adik iparnya tiba. Anak perempuan kak Nah tidak ikut serta. Kata suaminya, malam itu juga dia akan bawa isteri dan anak-anaknya balik ke kampung. Aku heran, kenapa dia tak boleh bawa sekali isteri dan anak-anaknya. Kenapa dia perlu datang dan balik semula kerumahnya?

Disebabkan anaknya berjawatan tinggi, maka ramailah kawan-kawannya ikut serta untuk melihat jenazah kak Nah. Ketika ini, aku tak dapat lagi menahan air mataku. Aku kasihankan Kak Nah, aku kasihankan semua ibu di dunia ini. (bapa sekali). Aku teruskan membaca surah Yassin kerana orang yang bersedekah bacaan Yassin atau al Quran tidak sampai semua jari sebelah tangan pun. Anak-anakku masih meneruskan bacaan mereka.

Aku bisikkan kepada anakku yang ketiga dan keempat, "nanti, kalau telah sampai ajal umi, janganlah datang seolah-olah menziarahi ibu atau bapa orang lain yang meninggal. Pastikan bacalah Al-Quran atau Yassin untuk umi. Kalau bawa kawan-kawanpun janganlah bawa kawan-kawan yang seolah-olah datang " to pay their last respect for the sake of their colleague", hanya sekadar pandang jenazah dan bercerita tentang hal-hal pejabat.

Semasa jenazah Kak Nah dimandikan, anak-anak lelaki kak nah dipanggil untuk menjirus ibu mereka untuk kali terakhir. Aku rasa sedih, kalau anak perempuan kak Nah datang tentu dia juga boleh turut memandikan ibunya. Peluang terakhir itu tak akan datang lagi.
Aku menangis dan menangis sehingga kawan-kawan anak kak nah heran, ibu mertuaku juga heran. Mataku bengkak. Aku cuma katakan bahawa aku batuk dan selsema. Aku sememangnya batuk.

Tetapi tangisanku hanya kerana satu sebab. Bagaimana sikap anak-anakku sekiranya aku sakit lama dan tidak boleh menguruskan diriku? Anak-anak terpaksa menjaga aku, aku perlu dilap dan dimandikan. Badan aku berbau.

Lindungilah aku daripada menjadi anak yang tidak bertanggung jawab dan lindungilah aku daripada anak-anak yang sebegitu.

Ya Allah ya tuhanku, ampunilah segala-gala dosaku.