WELCOME TO MY BLOG

PERLUKAH DAIRI

Thursday, March 18, 2010

Akhir sebuah kehidupan

15 Mac, 2010

Jam 7.05 malam, Kak Nah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia di Bentong. Walaupun dah tenat dan doktor tak mahu menerimanya lagi, dia tetap nak ke Bentong ke rumah Zirah.

Aku tak tahu sama ada kak Nah, tak percaya yang anak-anaknya boleh menjaganya dengan baik di Kelang atau dia lebih percayakan Zirah untuk menjaganya atau dia tak nak menyusahkan anak-anaknya.

Jam 8.20 malam, aku, suami dan anak-anak yang sedang bercuti bertolak ke Bentong. Walaupun aku bersedih tetapi kami semua telah menjangka bahawa hayatnya tidak panjang. Oleh itu dari segi mental, kami telah bersedia menghadapi kemungkinan itu. Sesampai di rumah Zirah, aku lihat Mak mertua aku sedang duduk mengaji di sisi jenazah Kak Nah. Tak ramai orang ketika itu. Aku dari PD, Suhi sekeluarga dan Suhaimi juga sekeluarga dari Seremban, telahpun sampai. Anak menantu kak Nah dari Klang tak sampai lagi. Anak perempuan Kak Nah ada lima orang anak yang masih kecil. Mungkin nak menyiapkan mereka memakan masa. Kita harus berprasangka baik.

Sebenarnya kehadiran anak lelaki sulung Kak Nah , kami nantikan untuk membuat keputusan sama ada nak dikebumikan di kampung, di Gerik atau di Klang. Perlukan jenazah Kak Nah dimandikan dan dikapankan terlebih dulu? Nak uruskan van jenazah. Nak bertolak malam itu juga atau tunggu sehingga esok pagi?

Akhirnya dia, adik lelakinya dan adik iparnya tiba. Anak perempuan kak Nah tidak ikut serta. Kata suaminya, malam itu juga dia akan bawa isteri dan anak-anaknya balik ke kampung. Aku heran, kenapa dia tak boleh bawa sekali isteri dan anak-anaknya. Kenapa dia perlu datang dan balik semula kerumahnya?

Disebabkan anaknya berjawatan tinggi, maka ramailah kawan-kawannya ikut serta untuk melihat jenazah kak Nah. Ketika ini, aku tak dapat lagi menahan air mataku. Aku kasihankan Kak Nah, aku kasihankan semua ibu di dunia ini. (bapa sekali). Aku teruskan membaca surah Yassin kerana orang yang bersedekah bacaan Yassin atau al Quran tidak sampai semua jari sebelah tangan pun. Anak-anakku masih meneruskan bacaan mereka.

Aku bisikkan kepada anakku yang ketiga dan keempat, "nanti, kalau telah sampai ajal umi, janganlah datang seolah-olah menziarahi ibu atau bapa orang lain yang meninggal. Pastikan bacalah Al-Quran atau Yassin untuk umi. Kalau bawa kawan-kawanpun janganlah bawa kawan-kawan yang seolah-olah datang " to pay their last respect for the sake of their colleague", hanya sekadar pandang jenazah dan bercerita tentang hal-hal pejabat.

Semasa jenazah Kak Nah dimandikan, anak-anak lelaki kak nah dipanggil untuk menjirus ibu mereka untuk kali terakhir. Aku rasa sedih, kalau anak perempuan kak Nah datang tentu dia juga boleh turut memandikan ibunya. Peluang terakhir itu tak akan datang lagi.
Aku menangis dan menangis sehingga kawan-kawan anak kak nah heran, ibu mertuaku juga heran. Mataku bengkak. Aku cuma katakan bahawa aku batuk dan selsema. Aku sememangnya batuk.

Tetapi tangisanku hanya kerana satu sebab. Bagaimana sikap anak-anakku sekiranya aku sakit lama dan tidak boleh menguruskan diriku? Anak-anak terpaksa menjaga aku, aku perlu dilap dan dimandikan. Badan aku berbau.

Lindungilah aku daripada menjadi anak yang tidak bertanggung jawab dan lindungilah aku daripada anak-anak yang sebegitu.

Ya Allah ya tuhanku, ampunilah segala-gala dosaku.

1 comment:

  1. Innalillahiwainnahirojiun, menitik air mata aku bila baca apa yg ditulis, x tau apa nak kata...cuma peringatan untuk anak2nya & anak2 yang lain, mesti diingat jika ini yg kita lakukan kepada kedua2 Ibu bapa kita, maka nanti perkara yg sama akan berlaku pada kita. Masa itu jika menyesal pun dah x der maknanya.

    ReplyDelete