Batu satu, Bukit Kerani, Kuala Lipis Pahang. Di situlah keluarga aku tinggal. Kalau tak salah 34 tahun yang lalu. Rumah berek , papan - 10 pintu. Rumah kerajaan. Di situ keluargaku tinggal bersebelahan dengan rumah Mr. Khoo, seorang kerani sekolah. Isterinya yang aku panggil Mrs Khoo, seorang tukang jahit. Aku selalu menolongnya menjahit kaki baju-baju yang dah disiapkan. Sebulan sekali dia akan balik kampung ke Ipoh. Dah tentu ada sepasang kain dibelikannya untuk aku sebagai upah menolongnya menjahit.
Dia mempunyai 3 orang anak. Yang sulung perempuan, bernama Lay san, dua lagi anak lelaki Kay Hoo dan Kay kui. Masa tu mereka kecil lagi. Kay Kiew panggil abahku atok. Bila kami nak pindah dari situ dulu, menangis dia sambil berlari-lari mengejar kami. Berjurai-jurai air matanya. Sedih. Kami memang rapat.
Selang beberapa buah rumah pula tinggal satu keluarga yang rapat juga dengan keluargaku. Keluarga Dewi. Dia ada 2 orang anak yang lebih tua usianya daripada aku. Seorang perempuan bernama viji dan yang lelaki bernama vijan (Vijayan kot cos masa tu bukannya tahu nama penuh). Suami Puan Dewi ni selalu mabuk. Bila dia balik dalam keadaan mabuk, dah tentu Pn Dewi kena pukul.
Masa tu dia akan meraung-raung meminta tolong daripada kami jirannya. Kak Mah, tolong. Mrs Khoo, tolong. Tolong report polis. Sebagai remaja ketika itu, kecut perut aku mendengar dia menjerit meminta tolong. Rasa sedih berbaur rasa takut. Abahku cuba membantu dengan menelefon polis. Aku tak faham kenapa polis kata, yang mereka tak boleh buat apa-apa kerana itu hal rumahtangga mereka dan berlaku di dalam rumah. So mereka tak boleh ambil tindakan.
Setelah kami berpindah, kami tak berjumpa lagi antara satu sama lain. Berkirim khabar pun tidak. Setelah beberapa tahun berlalu, aku dengar, Mr Khoo telah meninggal dunia. Mrs Khoo anak beranak balik ke Ipoh. Dewi dan suaminya telah berpisah. Anak-anaknya telah bekerja di Kuala Lumpur. Kalau kami terjumpa dimana-manapun aku pasti aku tak akan cam wajah anak-anak Pn. Khoo dan Pn. Dewi.
Nak dijadikan cerita, emak telah mendapat nombor telefon Pn. Dewi yang sekarang ni tinggal di Nilai. Tak jauh dari Seremban. Mak lalu menelefon Pn. Dewi. Punyalah gembira dua sahabat ini dapat mendengar suara masing-masing. Pn. Dewi kata dia tak sihat tapi apabila mendengar suara mak, dia terus rasa sihat. Terharu aku. Pn. Dewi memberi nombor telefon Mrs Khoo pada mak. Dia kata Mrs Khoo sekarang tinggal di Kuala Lumpur di rumah Lay san.
Masa mak ke rumah zura di Ampang, mak telah menelefon Pn. Khoo. Masa tu dah pukul 10.00 malam. Pn. Khoo terperanjat mendengar suara mak. Dia nak jumpa mak malam tu juga. Mak aku kata, dah malam, esoklah kita jumpa. Pn. Khoo kata tak boleh, dia mesti jumpa mak malam tu jugak. Dia minta anaknya laysan dan kay kui menghantarnya ke rumah zura. Sekali lagi aku terharu. Mereka sampai di rumah zura dah hampir jam 11 malam. Bergenang air mata masing-masing apabila bertemu.
Mereka ni dah berusia lebih 70 tahun tetapi ingatan dan ikatan persahabatan mereka tak pernah luput walaupun telah terpisah lebih daripada 30 tahun.
Dalam zaman ini, generasi kini , bolehkah kita temui lagi persahabatan yang sejati seperti ini yang tidak mengira perbezaan bangsa dan agama?
Bolehkah 1 Malaysia menjadi realiti tanpa ada rasa sangsi antara satu kaum dengan yang lain?

No comments:
Post a Comment